Assalamualaikum warahmatullah..dan salam sejahtera..
Selamat datang ke Bandaraya Melaka Bersejarah
Bermula dari pemerintahan Putera Sumatera, Parameswara, pada awal tahun 1400 Masihi, pengasas Empayar Kesultanan Melayu, Melaka terus gemilang.
Penulis Portugis, Tome Pires pernah berkata:
"......Men cannot estimate the worth of Melaka on account of its greatness and profit."
Pendudukan Portugis bermula pada tahun 1511 diikuti Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris kembali, telah memperkayakan lagi khazanah sejarah Melaka. Lantas kehidupan di sini disulami dengan kepelbagaian budaya dan tradisi menjadikannya satu senario yang harmoni dan indah.
Kerajaan negeri Melaka bukan sahaja prihatin terhadap tanggungjawab ke atas para penduduknya tetapi turut menitikberatkan keselesaan para pelancong dan pelabur-pelabur yang berkunjung ke sini.
Penyediaan prasarana bagi menjadikan Melaka sebuah negeri yang maju dalam segala aspek merupakan asas perancangan pembangunan negeri ini. Sebagai salah sebuah bandaraya bersejarah di Malaysia, kita tidak berhajat untuk menjadikannya seolah-olah 'Bandaraya Muzium'. Sebaliknya, kita mahu supaya bandaraya ini menjadi satu organisma hidup yang dinamik dan sentiasa maju. Kita akan memastikan satu kemajuan seimbang antara pembangunan bandar, pemuliharaan tinggalan sejarah dan pemeliharaan alam sekitar.
Kesepaduan masa lalu, kini dan akan datang itu menjadi harapan saya untuk menjadikan negeri bertuah ini unik serta memberi keyakinan kepada para penduduk, pelawat dan pelaburnya. Ramai yang telah menikmati kekayaan dan keindahan Melaka. Banyak lagi khazanah dan peluang yang anda boleh terokai di sini.
Bayangkan anda akan menjadi sebahagian dari kegemilangan itu!
Akhir kata..
KUNJUNGILAH BANDARAYA MELAKA BERSEJARAH!
Sekian, terima kasih.
YBhg. Datuk Hj. Shadan bin Hj. Othman
Datuk Bandar,
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah